AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN – PERATURAN
PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA
DAN GURU) 1998
[Subperaturan 7(2]
PERLEMBAGAAN
PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG )
SJK(C) CHI MANG
Nama dan Alamat
1. Persatuan
ini adalah dikenal dengan nama :
Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK(C) CHI MANG
2. Alamat yang
didaftarkan bagi Persatuan ini ialah :
AIR MASIN, 82300 KUKUP, PONTIAN, JOHOR.
Tujuan- tujuan Persatuan
3.
Tujuan-tujuan Persatuan ialah untuk :-
(i) mengadakan
sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid di dalam
Sekolah Chi Mang dalam meningkatkan imej Chi Mang;
(ii) membantu dan menambah usaha Chi Mang dalam memenuhi kehendak dan keperluan
kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
(iii) membolehkan
ibu bapa dan guru dalam Chi Mang bertukar- tukar fikiran dan maklumat mengenai
pendidikan;
(iv) memberi
peluang kepada ibu bapa dan guru dalam Chi Mang berunding antara satu sama lain
berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka amnya; dan
(v) membolehkan
ibu bapa dalam Chi Mang untuk berusaha menambah kewangan Chi Mang dan
meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran
dan pembelajaran.
Fungsi Persatuan
4. Fungsi
Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai
tujuan-tujuan Persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:-
(i) membantu
dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
(ii) menambah
sumber kewangan Chi Mang bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di STF;
(iii)
meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan
antara Chi Mang dengan masyarakat setempat; dan
(iv) meningkatkan
keceriaan premis Chi Mang supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi
menjayakan aktiviti dan program pendidikan.
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota
Persatuan terdiri daripada :
(i) semua guru
di Chi Mang;
(ii) ibu bapa
kepada murid yang belajar dalam Chi Mang; dan
(iii) warganegara
Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan
(seperti di Lampiran A).
6. Guru Besar Chi Mang hendaklah menjadi
anggota ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan
hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai “Jawatankuasa
PIBG”. Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan dua tahun
sekali dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota
Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
9. Keanggotaan
Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut :-
a) seorang Yang
Di-Pertua;
b) seorang Naib
Yang Di-Pertua;
c) seorang
Setiausaha;
d) seorang Bendahari;
dan
e) 10 orang
Ahli.
10. Bilangan ibu
bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah seimbang.
11. Guru besar
tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai
Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9
(e) hendaklah antara 1 hingga 10 orang.
13. Bilangan
anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di Chi
Mang) yang tidak mempunyai anak di Chi Mang hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada
keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk
kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan Subperaturan 6(4) hingga 6(6)
Peraturan-Peraturan Pendidikan Daerah (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) 1998,
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang
berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota
Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan
bertulis Pendaftar.
15. Tempoh
memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah selama dua tahun bermula dari
tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada dua tahun
berikutnya.
16. Jika berlaku
kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik
mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan
anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa
PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat
pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14
hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi
Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat
keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa
bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan,
Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat
di bawahnya.
(i) Yang
Di-Pertua
· Menjadi
Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan
dan bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat;
· Mempunyai
undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah
diluluskan;
·
Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa
peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan;
· Sentiasa
mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang
di-Pertua;
· Boleh
memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu
dengan persetujuan Pengetua;
· Menandatangani
cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan;
· Memastikan
segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur;
dan
· Mendapatkan
nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari masa ke semasa daripada Pengetua
selaku Penasihat Persatuan.
(ii) Naib Yang
Di-Pertua
·
Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi
Yang Di-Pertua; dan
· Menjalankan
tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
(iii) Setiausaha
· Menjalankan
urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan;
· Melaksanakan
keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG;
· Mencatat,
menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat
Agung Tahunan;
· Menyediakan
laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit
yang bersangkutan dengannya dan
·
Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.
(iv) Bendahari
·
Bertanggungjawab menguruskan dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan
dengan menyediakan dan menyimpan kira-kira
yang dikemas kini. Penyata
kira-kira bagi setiap tahun kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah
disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit
hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan
diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar
selepas Mesyuarat berkenaan;
· Menguruskan
perbelanjaan Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan
atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG;
· Menyimpan
wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan
Persatuan pada sesuatu masa;
· Menerima
bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau
lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akuan penerimaan dan dikreditkan ke
dalam akuan Persatuan pada hari yang sama;
·
Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan; dan
· Memastikan
tiada terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki
kredit.
Lain – lain jawatan
(v) Penasihat
Persatuan
Pengetua Sekolah adalah ex-officio Persatuan dan bertindak
sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan Antara tanggungjawab dan fungsi Pengetua
selaku penasihat adalah seperti berikut :-
· Menghadiri
mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh
mengundi;
· Mewakili
pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi
mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, program, kegiatan dan
keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah
dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar
Negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal
berkaitan dengan pentadbiran sekolah;
· Berhak untuk
menghentikan dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk
kepentingan anggota Persatuan;
· Meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara
yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
· Memberi
penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan STF dan
akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
· Memastikan
kegiatan Persatuan selari dengan tujuan dan fungsi Persatuan;
· Memastikan
sumbangan anggota Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak
membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
· Menentukan
tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri sebarang majlis anjuran
Pesatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh
Kementerian.
(vi) Juru Audit
Dalaman
· Persatuan
hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan
yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada Mesyuarat Agung Tahunan,
seorang daripada kalangan ibu bapa dan seorang lagi dari kalangan guru.
· Tanggungjawab juru audit dalaman adalah
seperti berikut :-
(a) mengaudit
akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan
(b) menjalankan
pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung
Tahunan.
Kuorum
19. Kuorum
mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut :-
(i) Mesyuarat
Agung Tahunan – hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota
Jawatankuasa PIBG; dan
(ii) Mesyuarat
Jawatankuasa PIBG – hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota
Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
20. Mesyuarat
Agung Tahunan hendaklah diadakan pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
21. Jika
Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa
PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar
melalui Guru Besar, sebelum 31 Mac.
22. Notis tarikh
Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum
tarikh Mesyuarat.
23. Sekiranya
kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1
jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan
Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota
Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari
dari tarikh asal tersebut .
24. Agenda
Mesyuarat Agung Tahunan mengandungi perkara-perkara berikut:-
(i) Ucapan
Pengerusi;
(ii) Membentang
dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
(iii) Membentang
dan menerima Laporan Tahunan;
(iv) Membentang,
menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
(v) Membahaskan usul, jika ada;
(vi) Pemilihan
Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan (dua tahun sekali) ;
(vii) Pemilihan
Juru Audit Dalaman;
(viii) Ucapan
penangguhan; dan
(ix) Lain -lain
hal.
25. Sebarang usul
bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari
sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis
usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
26. Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab
memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang
lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat
seperti berikut :-
(i) anggota yang dicalonkan untuk memegang
jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
(ii) setiap
pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan
(iii) pemilihan
hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undian terbanyak dipilih
menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
27. Mesyuarat
Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut :-
(i) apabila
difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;
(ii) atas
permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota
Persatuan; atau
(iii) atas
arahan Pendaftar.
28. Mesyuarat
Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh
keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan anggota Persatuan atau
tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai
Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukan kepada anggota Persatuan
selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.
29. Urusan
Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu
diadakan.
Laporan Mesyuarat
30. Laporan
Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-Kira Kewangan Persatuan
hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau
Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh
30 hari selepas tarikh Mesyuarat .
31. Laporan
Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai
Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut
mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
32. Jawatankuasa
PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun
persekolahan.
33. Notis
panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada Jawatankuasa PIBG
selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh mesyuarat.
34. Yang
Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh
memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan
persetujuan Penasihat.
35. Setiap
anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa
sebab hendaklah digugurkan keanggotaannya dalam Jawatankuasa PIBG secara
automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada
anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
36. Punca-punca
pendapatan Persatuan adalah daripada :-
(i) sumbangan
anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa
sumbangan);
(ii) derma dan
sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain; dan
(iii) pendapatan
yang diperolehi daripada aktiviti dan program anjuran Persatuan yang telah
mendapat kelulusan Pendaftar.
37. Jawatankuasa
PIBG hendaklah membuka suatu akaun dimana-mana bank tempatan yang berdaftar
atas nama Persatuan.
38. Sebarang wang
yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam
akuan Persatuan pada hari wang tersebut diterima atau diperolehi. Walau apapun
peruntukan tersebut, Bendahari boleh menyimpan wang tunai tidak melebihi
RM1,000.00 pada satu-satu masa.
Perbelanjaan Wang Persatuan
39. Jawatankuasa
PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang
mendatangkan faedah kepada pelajar-pelajr STF yang tidak bercanggah dengan
tujuan-tujuan Persatuan.
40. Segala cek
atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah
ditandatangani oleh Yang DiPertua dan Bendahari atau Setiausaha, semasa
ketiadaan Yang Di-Pertua.
41. Bendahari dan
Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan
akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit .
42. Tahun
kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan Akaun Pendapatan dan Perbelanjaan
43. Penyata
Kira-Kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk
diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
44. Satu salinan
Penyata Kira-Kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan
dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang
berkenaan.
45. Pendaftar,
Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetu adalah
dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
46. Persatuan
tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tidak alih,
atas namanya sendiri . Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini
berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada
Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh STF, sebagai harta yang diamanahkan oleh
Persatuan untuk digunakan bagi faedah pelajar-pelajar STF sahaja atau
sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari semasa ke semasa.
47. Apa-apa harta
yang diamanahkan kepada STF tidak boleh dipinda milik atau dilupuskan dengan
apa cara sekalipun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang
diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
48. Sebarang
cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada
Pendaftar, melalui Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
49. Cadangan
pindaan yang hendak dikemukakan kepada pendaftar hendaklah dibentangkan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada
anggota Persatuan yang hadir.
50. Pindaan
kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada tarikh pindaan diluluskan
oleh Pendaftar.
51. Pendaftar
berhak meluluskan atau tidak meluluskan sebarang pindaan yang dicadangkan oleh
Persatuan.
Larangan
52. Persatuan
tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang
berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan STF, guru, kakitangan dan pekerja
STF dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan STF.
53. Persatuan
bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal
untukmembuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya
sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang
memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah
dirujuk kepada Pendaftar, melalui Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
54. Persatuan
tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian
antara Persatuan dengan Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan
Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan
Persekutuan.
55. Persatuan
tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah
lain, parti politik, kesatuan kerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain
organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar
di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.
Tafsiran
56. Sebarang
kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah
dirujuk kepada Pendaftar melalui Pengetua.
Pembubaran
57. Persatuan
hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut :
(i) atas
arahan bertulis daripada Pendaftar ; atau
(ii) Chi Mang berhenti beroperasi.
58. Wang dalam
akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh pendaftar
dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan
di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah
diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan
oleh Pendaftar.
59. Pengetua
hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila
Persatuan dibubarkan.
Perlembagaan Sekolah : SJK(C) Chi Mang
Alamat Sekolah : Air
Masin, 82300 Kukup, Pontian, Johor.
LAMPIRAN A
Panduan Permohonan Menjadi Anggota Persatuan Ibu Bapa dan
Guru di bawah Subperaturan 4(2) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu
Bapa dan Guru) 1998
1. Panduan ini
adalah bertujuan untuk memperjelaskan maksud yang terkandung di dalam
subperaturan 4(2) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persaturan Ibu Bapa dan Guru)
1998.
2.
Subperaturan 4(2) menyatakan “Warganegara Malaysia yang tidak mempunyai
anak atau jagaan yang belajar dalam sekolah itu tetapi berminat menjadi anggota
Persatuan boleh memohon sama ada kepada Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pendidikan Bahagian atau Pendaftar (bagi sesuatu negeri yang tidak mempunyai
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian) untuk menjadi
anggota”.
3. Permohonan bagi menjadi anggota
Persatuan di bawah subperaturan 4(2) hendaklah dibuat seperti yang dinyatakan
di bawah:-
a) Permohonan
hendaklah menggunakan borang permohonan BPA/PIBG/1 menjadi anggota Persatuan
Ibu Bapa dan Guru yang tidak mempunyai anak di STF.
b) Pemohon
hendaklah mengemukakan borang permohonan yang diisi dalam 4 salinan kepada
Pegawai Pendidikan Daerah/Pegawai Pendidikan Bahagian/Pendaftar, melalui
Pengetua.
c) Pengetua
hendaklah membawa permohonan tersebut untuk dibincangkan di dalam mesyuarat
Jawatankuasa PIBG dan persetujuan sebulat suara perlu dicapai dalam mesyuarat
itu, sama ada untuk menerima pemohonan sebagai anggota Persatuan atau tidak.
d) Pengetua
hendaklah mengemukakan borang permohonan yang telah disokong serta minit
mesyuarat berkaitan kepada Pegawai Pendidikan Daerah/Pegawai Pendidikan
Bahagian/Pendaftar tidak lewat dari 30 hari dari tarikh mesyuarat Agung Tahunan
untuk kelulusan.
e) Kelulusan yang
diberikan adalah untuk tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan Pendaftar.
e) Permohonan
yang diluluskan adalah untuk menjadi anggota Persatuan sahaja. Pelantikan ke
sebarang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG atau selainnya hendaklah diputuskan
dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
g) Pendaftar
boleh, jika ia mempunyai alasan yang munasabah, membatalkan kelulusan ini
bila-bila masa.
SAYA ADA MASALAH..SIAPA YANG KITA HARUS HUBUNGI SEKIRANYA INGIN MENDAPATKAN SALINAN SIJIL PENDAFTARAN PIBG YANG TELAH TIADA/TIDAK DAPAT DIKESAN DALAM SIMPANAN...
ReplyDeleteHubungi PPD.
ReplyDeleteSaya baru buat permohonan utk dapatkan salinan sijil pendaftaran PIBG dgn mohon pada pendaftar di JPN
ReplyDelete